Assalammualaikum wbt kepada semua saudara senegeri
Teman,
Sesungguhnya, apa yang terjadi dalam sehari dua ini
dimana terbongkarnya rahsia kekayaan dan keupayaan kewangan YB Ngeh Koo Ham sehingga
beliau mampu untuk menyediakan RM31 juta untuk membeli dan memiliki (secara
langsung dan tidak langsung) syarikat Upaya Padu Sdn Bhd (UPSB) seterusnya
pengusahaan tanah pajakan dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) seluas 10,526 ekar,
adalah satu rahmat dari Allah SWT; satu petunjuk kepada ‘kita’ menjelang PRU13
nanti.
Di sini, Teman tidaklah akan menghujahkan yang
tindakan YB Ngeh Koo Ham itu adalah salah dari segi undang-undang dan begitu
juga dengan tindakan YIK. Sebaliknya, Teman akan membincangkan perkara-perkara
yang zahir dan sahih sahaja. Perkara-perkara yang zahir dan sahih yang Teman
maksudkan adalah seperti berikut:
1) Pembelian
saham (seterusnya pertukaran hak-milik) UPSB kepada YB Ngeh Koo Ham kerana
beliau sendiri mengaku akan perkara ini.
2) Walaupun
proses pertukaran hak milik ini berlaku pada tahun ini (2012), tiada apa yang boleh
mengubahkan hakikat bahawa UPSB memang telah mendapat pajakan tanah dari YIK
seluas 10,526 ekar sejak 2006 lagi seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha
Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan dalam artikel Harakah baru-baru ini.
3) Dan
selepas pertukaran 2012 ini, UPSB dimiliki hampir seratus-peratus oleh seorang
individu yang bukan bumiputra dan fakta ini datang secara semulajadi hasil dari
fakta 1) dan 2)
Apakah kaitan fakta-fakta di atas dengan rahmat dan
petunjuk Allah yang Teman nyatakan diawal penulisan ini? Apa yang Teman
maksudkan ialah Allah telah memberikan petunjuk bahawa ‘kita’ (Melayu, Muslim
dan Bumiputra) belum lagi mampu bersaing ‘atas tanah yang rata’ lalu mesti bagi
‘kita’ mengekalkan dulu apa yang ‘kita’ ada dengan memastikan kerajaan UMNO/BN
terus memerintah, sementara ‘kita’ menyiapkan diri terlebih dahulu.
Bukanlah niat Teman hendak menjadi pesimistik tetapi
apa yang YB Ngeh Koo Ham telah lakukan, hakikat dimana beliau tidak melakukan
apa-apa kesalahan dari segi undang-undang (kesalahan moral mungkin), cuma menyerlahkan
lagi kebijaksanaan dan keupayaan ‘mereka’ dari pelbagai segi termasuk kekuatan pemikiran,
modal dan rangkaian yang ‘kita’ masih lagi terlalu jauh untuk memilikinya.
Apa yang lebih membimbangkan, selain memiliki
keupayaan-keupayaan ini, tiada ternampak pula bibit-bibit keinginan untuk ‘mereka’
berkongsi dengan ‘kita’ dan membantu serta memberi tunjuk ajar kepada ‘kita’.
Ini dibuktikan dengan pembolotan hak milik UPSB oleh ‘mereka’ hampir seratus
peratus. Turut membimbangkan adalah bagaimana entiti-entiti ‘kita’ seperti YIK
terus-terusan dieksploit oleh ‘mereka’ dalam mendapatkan projek-projek yang
berskala besar. Memanglah ‘kita’ boleh berterus-terusan memberikan alasan ‘kita’
belum mampu, belum cukup pandai dan lain-lain maka ‘kita’ perlu serahkan projek
itu kepada ‘mereka’ tetapi bukankah ini juga bermaksud ‘kita’ perlukan lebih
masa untuk menyiapkan diri, lalu mesti bagi ‘kita’ mengekalkan dulu apa yang ‘kita’
ada dengan memastikan kerajaan UMNO/BN terus memerintah, seperti yang telah
Teman nyatakan di atas.
Jika dilihat dari perspektif ini, rahmat Allah SWT
kepada rakyat negeri Perak telah turun seawal 2009 lagi dengan pertukaran
semula kerajaan negeri Perak ke tangan BN. Kalau tidak cuba ‘kita’ bayangkan
apa yang YB Ngeh Koo Ham dan ‘mereka’ boleh capai dalam tempoh empat tahun yang
telah berlalu (2008 sehingga kini). Sedangkan dengan kehilangan kuasa pun beliau
boleh membeli saham UPSB dan menguasai pengusahaan tanah YIK, inikan pula jika ‘mereka’
berkuasa dahulu.
Dan cuba bayangkan, apa yang ‘mereka’ boleh lakukan
jika ‘mereka’ menang dalam PRU13 yang akan datang seterusnya berkuasa untuk
empat atau lima tahun lagi diwaktu tiada langsung bibit-bibit bukti yang ‘mereka’
ingin berkongsi dengan ‘kita’. Satu perkara yang selalu ‘kita’ lupa, selepas
PRU12 memanglah jawatan Menteri Besar Perak diberikan kepada PAS kerana diwaktu
itu DAP tiada calon Melayu tetapi perkara ini tidak akan berlaku lagi kerana
DAP telah belajar dari kesilapan terdahulu. Dikhabarkan, DAP akan meletakkan
calon-calon Melayu di Perak untuk membolehkan ‘mereka’ menduduki kerusi Menteri
Besar jika ‘mereka’ menang kelak. Bayangkan apa yang akan terjadi.
Bayangkan juga darjah kerakusan ‘mereka’. Walaupun YB
Ngeh Koo Ham mampu menyediakan duit puluhan juta untuk pembelian saham dan
walaupun ‘mereka’ terus mendapat projek-projek dan tanah-tanah berskala besar, ‘mereka’
masih terus melaungkan slogan ‘DEB tidak adil’, ‘agihan kekayaan dan peluang tidak
sama rata’ dan lain-lain lagi. Ini semua sepatutnya membuatkan ‘kita’ berfikir,
apa yang ‘mereka’ mahukan lagi?
Mungkin ada yang berhujah PAS dan PKR akan
mengimbangi kuasa dan keupayaan DAP jika mereka berkuasa kelak. Tetapi sejarah
yang ada, bukti-bukti yang ada tidak menunjukkan ini akan berlaku. Bukti-bukti
yang ada adalah sebaliknya dimana entiti-entiti kita seperti YIK terus
dieksploit, bukan secara salah dari segi undang-undang, tapi dari segi
ketidakmampuan ‘kita’ sendiri. Ini belum lagi ‘kita’ bincangkan isu-isu lain
seperti perlaksaan negara Islam dan hudud.
Akhir kata, Teman mengharapkan saudara-saudara
senegeri Teman akan memikirkan sedalam-dalamnya perkara-perkara yang berbangkit
dalam sehari dua ini. Tidakkah ia satu petunjuk dari Allah SWT tentang
kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku selepas PRU13 ini? Jika Allah telah
merahmati ‘kita’ pada tahun 2009 dahulu, kenapa tidak Dia terus merahmati ‘kita’
sehingga kini dengan terus memberikan petunjuk dan pedomanNya agar ‘kita’ terus
selamat dan sejahtera? Fikir-fikirkanlah wahai rakyat Negeri Perak semua.
DR AIRIL YASREEN MOHD YASSIN
Pensyarah Kanan,
Fakulti Kejuruteraan Awam,
UTM, Johor Bahru.

7 comments:
salam doc;
Satu lagi penghujahan yang baik. dalam youtube, ada jugak tengok tony pua 'pukul' syed bukhari kaw kaw pasal katanya syed bukhari monopoli.
cuma agaknya tony pua terlupa, boon siew, goh tong, kuok, hong leong dan tokey public bank tu monopoli jugak, sebab toyota, yamaha dan honda tu rasanya semua 'mereka' yang kontrol...'kita' ni setakat jadi salesman aje lah...
Seandainya kita terus hidup dalam kepompong kemelayuan, sehingga itu juga kita akan terus hidup dalam ketakutan akan ancaman dari bangsa lain.Allah S.W.T tidak memperuntukkan agama Islam hanya untuk bangsa Melayu yang mengizinkan kita menafikan hak orang lain.Sudah 50 tahun kerajaan sekarang memegang tampuk kuasa,tapi nyatanya sehingga kini tidak semua bangsa Melayu mengamalkan Islam sepenuhnya.
Sebagaimana firman Allah S.W.T. surah al Hujurat ayat 13 yang Maksudnya : "Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."
Anon 19:13
Saya tak pasti apa tujuan komen saudara, tapi setiap kita mempunyai pandangan dan pendapat sendiri tapi terlalu typical bagi seseorang untuk menghujahkan sesuatu itu dengan ayat Al-quran hanya untuk memenangkan hujah mereka, Ayat Al-quran yang digunakan di atas tidak tepat dengan konteks post ini sebab post ini tidak menidakkan kewujudan bangsa lain dan tidak pula menyeru setiap kita menghalang atau menghapuskan bangsa lain malah jika dibaca dengan hati terbuka surat ini menunjukkan bahawa bangsa lain itu hebat sangat berbanding dengan kita dan kita sepatutnya sedar dengan kehebatan itu justeru mesti beajar kehebatan itu dari mereka. Post ini hanya ingin mengutarakan bahawa kita sepatutunya bersedia dan untuk bersedia diberikan sedikit masa lagi.
50 tahun, adakah itu sudah terlalu lama untuk kita belajar? Adakah 50 tahun kita sudah mampu untuk bersaing? Masalahnya ini timbul bukan kesalahan siapa-siapa tapi kesalahan bangsa kita sendiri (melayu), Seperti saudara maksudkan, kita tidak mengamalkan budaya islam sebenarnya. Kita hanya bangsa Islam pada nama sahaja, salah siapakah ini? Adakah ini semua salah kerajaan yang memerintah juga? Kita sentiasa menyalahkan orang lain, tapi tidak kita sendiri. Kerajaan yang memerintah selama 50 tahun ini telah memberikan pelbagai kemudahan (DEB salah satu contoh yang nyata, sistem pendidikan percuma, menyediakan seberapa banyak peluang pekerjaan, peniagaan dan sebagainya) supaya kita dapat bersaing dari segi modal, kepakaran dan rangkaian. Tapi salah kita sendiri, kita tidak pernah ada sikap ingin berjaya yang tinggi, kita penuh dengan perasaaan dengki dan kianat pada bangsa kita sendiri, kita tidak ingin berkongsi supaya bangsa kita berjaya bersama, dan ada segelintir dari kita pemalas dengan mengambil peluang ini menjadi alibaba. Jadi salah siapakah ini? Masih lagikah kerajaan yang bersalah?
Saya telah mengikut blog Dr Airil ni sudah lama, saya merasakan tidak ada satu pun dalam blog ini bersifat rasis malah inilah satu-satu blog walaupun kekadang ada unsur politiknya tapi masih membuatkan kita sentiasa berfikir BANGSA KITA KENA BERUBAH, MESTI BERUBAH, MESTI BERILMU, MESTI PANDAI – kalau ingin berjaya atau kaau ingin MENGUBAH. Dan kali ini, Dr Airil ingin BANGSA KITA DIBERIKAN MASA UNTUK KITA SEMUA BERUBAH……
mhn share
Silakan ANAK JATI MALAYA
Awekz mohon share juga...Terima kasih :)
kpd anon 19:13 & anon 00:51;
harap jangan terpisah dengan realiti kehidupan kita sehari hari.
contohnya dalam isu pendidikan, kalau 'mereka' masih bertahan dengan dong zong dan si qiu, manakan boleh ada dan wujudnya 1 malaysia, waima gagasan malaysian malaysia DAP pun masih sepi dengan kedegilan dong zong dan si qiu ini.
DAP dan MCA sama, mendiamkan diri pasal tuntutan dong zong, sedang kita sudah menerima konsep sekolah integrasi dan PPSMI, yang akhirnya kecundang dengan sentimen keuntungan politik satu dua parti.
Post a Comment